Friday 2 August 2013

Bab 1

Suasana pagi di resort yang didiaminya itu dirasakan berbeza sekali. Dia membiarkan angin pagi bertiup menyapa wajahnya. Tidak pernah seumur hidupnya terfikir akan menginap di resort yang mewah seperti itu. Setakat pegawai bawahan macam dia mana mampu untuk menginap di resort yang harganya mencecah RM700 satu malam. Harga bilik itu sama dengan jumlah perbelanjaannya selama sebulan. Lebih baik duit sebanyak itu disimpan atau paling tidak pun bagi adik-adik buat belanja di universiti. Zaman sekarang ni semua perkara memerlukan duit.
“Buat apa tu? Jauh termenung, teringatkan boyfriend ke?” sapa satu suara yang tidak asing lagi dipendengaran gadis manis itu. Lalu dia menoleh ke belakang untuk memastikan tekaannya tepat.
“Waalaikumussalam, kalau teringat pun kenapa? Ada masalah dengan Encik Shahir ke?” balas gadis itu tanpa rasa takut pada majikannya itu. ‘Encik Shahir ni memang tak boleh tengok aku senang. Ada je dia kat mana aku pergi.’ Kata-kata itu hanya mampu dituturkannya di dalam hati. Tidak berani untuk meluahkan kepada ketua juga merangkap majikannya itu.
Erkk.. tak ada masalah pun. Saja tanya, mana tahu kut teringat ke?” balas lelaki itu sambil tersenyum menampakkan kedua-dua lesung pipitnya serta gigi yang tersusun rapi.
Gadis itu terus melangkah tanpa menghiraukan kata-kata majikannya itu. Langkah kaki diatur tanpa tahu arah tujuan. Akhirnya, dia memutuskan untuk pulang ke bilik. ‘Lebih baik aku pulang saja ke bilik. Sudah tentu-tentulah Encik Shahir tak kacau.’ Bisiknya dalam hati.
Sesampainya di hadapan pintu bilik, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada panggilan yang masuk. Lantas dia menjawab panggilan itu tanpa melihat nama pemanggil. Tersentak dia saat terdengar suara garau itu yang menghubunginya. Namun, dia masih mendengar apa yang dikatakan oleh ketuanya itu. Lalu dia melangkah ke destinasi seperti yang diarahkan oleh majikannya itu. Dalam hati berbakul-bakul sumpah seranahnya dihadiahkan pada majikannya itu. Bukan dia tidak tahu, majikannya itu sengaja mahu menguji kesabarannya. Sepanjang dia bekerja di syarikat milik bapa majikannya itu, sering kali dia diuji dengan karenah Encik Shahir yang kadang kala boleh mendatangkan migrain.


Pagi tu dirasakan sungguh nyaman ditambah dengan angin pagi yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tidak sia-sia dia datang ke resort itu untuk menghadiri mesyuarat yang dikendalikan oleh syarikat ayahnya. Tambahan pula, mesyuarat kali ini turut disertai oleh Ayra Qhalissa, gadis yang mempunyai daya tarikan tersendiri bila dia berhadapan dengannya. ‘Sambil menyelam kita minum air.’ Bisik hati lelaki itu sambil tersenyum. Sedang dia menghirup udara pagi itu tiba-tiba dia terpandang seseorang yang amat dikenalinya tidak jauh dari tempat dia berdiri. ‘Wahh! Peluang keemasan ni, tidak boleh disia-siakan.’ Kata hatinya sambil tersenyum penuh makna. Lalu langkah kaki diatur mendekati gadis yang menjadi kegilaan ramai itu. Tidak dapat dibayangkan jika gadis itu sudah berpunya. Hancur musnah segala perancangan yang telah diatur rapi. Kali ini akan dipastikannya segala yang telah dirancang akan berjalan dengan lancar. Misinya untuk mencuri hati gadis itu bermula sejak diberitahu oleh ayahnya yang dia perlu ke resort untuk menghadiri satu mesyuarat penting dengan gadis itu.


Mereka bersarapan di kafe resort bersama-sama wakil syarikat lain yang turut serta dalam mesyuarat kali ini. Bagi Tengku Shahir Qayyum itu sesuatu yang normal bila dia perlu ke satu-satu tempat untuk menghadiri mesyuarat tapi tidak bagi Ayra Qhalissa. Dia berasa agak janggal berada bersama kumpulan orang kenamaan.
“Awak okay tak ni?” soal Shahir prihatin. Bagai tahu sahaja apa yang dirasai oleh gadis itu. Sebolehnya dia mahu gadis itu merasa selesa sepanjang mereka berada di resort itu. Takut Ayra Qhalissa bakal menolak untuk bekerja di luar daerah pada masa akan datang.
Ayra hanya menggelengkan kepala tanda tidak selesa. Malu mahu menjawab soalan yang diajukan. Takut dikatakan demand dengan bos sendiri.
“Kalau macam tu awak baliklah bilik dulu. Biar saya seorang saja yang bersarapan di sini dengan mereka semua. Tak elok pula kalau saya turut menghilangkan diri.” Tutur Shahir dengan penuh sopan. Seakan memujuk pula gayanya.
“Ehh, tak apa ke saya tinggalkan Encik Shahir seorang di sini? Rasa macam tak selesa pula biarkan Encik Shahir seorang yang berurusan dengan mereka ini. Nanti apa pula mereka kata.” Balas gadis itu sopan sambil berfikir mengapa Tengku Shahir Qayyum berubah watak secara tiba-tiba tidak lagi mengusiknya seperti selalu ‘Mungkin sebab ramai orang kat meja ni kut.’ Hatinya berkata-kata.
“Betul awak nak temankan saya bersarapan kat sini dengan mereka semua?” Shahir menginginkan kepastian dari mulut gadis itu.
Ayra Qhalissa menganggukkan kepalanya tanda dia bersetuju untuk berada di kafe itu bersama-sama yang lain. Shahir tersenyum sehingga menampakkan kedua lesung pipit di pipinya. Shahir hampa kerana Ayra Qhalissa tidak menjawab soalannya malah hanya menganggukkan sahaja kepalanya. Tapi apabila dia terpandangr seraut wajah manis itu rasa kecewanya serta-merta hilang. Tanpa mereka sedari perlakuan mereka diperhatikan oleh salah seorang wakil dari syarikat Megah Holdings. Hati lelakinya mengatakan mereka berdua mempunyai hubungan yang lebih dari seorang majikan dengan pekerja.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.